Kemahiran Berbahasa

PENDAHULUAN

                Sejak berkurun manusia mengiktiraf bahasa sebagai wahana komunikasi antara manusia yang penting. Di mana sahaja, bahasa merupakan alat perantara bagi kita menyampaikan perasaan atau pemikiran dalam bentuk tulisan, lisan atau isyarat. Justeru kemahiran berbahasa perlu dipelajari dan bukan berserah kepada kudrat semula jadi.
            Kemahiran berbahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Kemahiran bahasa yang berhubung dengan kemahiran lisan melibatkan dua komponen asas, iaitu mendengar dan bertutur.  Kedua-dua komponen ini berkait rapat dan saling melengkapi. Kemahiran membaca dan menulis  pula merupakan kemahiran bukan lisan.
            Penguasaan terhadap keempat-empat kemahiran berbahasa ini penting terhadap murid-murid mahupun individu kerana sejajar dengan apa yang dikehendaki dan termakub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu baik di universiti mahupun di sekolah. Kemahiran berbahasa ini juga merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku dan penguasaan kemahiran berbahasa yang baik yang akan melahirkan pengguna bahasa yang cekap berbahasa. Namun banyak isu yang timbul dalam penguasaan kemahiran berbahasa dan banyak pula kajian yang telah dijalankan terhadapnya. Sebagai bakal pendidik, anda juga seharusnya peka dengan isu-isu kemahiran berbahasa dan turut berganding bahu dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan kita.


            Aspek kemahiran berbahasa meliputi kemahiran lisan iaitu mendengar dan bertutur, membaca dan menulis. Walau bagaimanapun kemahiran mendengar dan bertutur merupakan aspek asas yang paling penting dalam kemahiran berbahasa. Hal ini demikian kerana murid-murid yang menguasai kemahiran mendengar dan bertutur dengan baik biasanya berpotensi cenderung menguasai kemahiran membaca dan menulis dengan lebih baik. Kemahiran mendengar yang baik membolehkan seseorang memperoleh dan memproses maklumat dengan tepat. Demikian juga seseorang yang mempunyai kemahiran bertutur yang baik membolehkan seseorang menyampaikan perasaan dan fikirannya dengan berkesan. Ini bermakna seseorang pendengar dan penutur yang baik lebih berpotensi menguasasi kemahiran membaca dan menulis dengan baik kerana keupayaan mendengar dan bertutur dengan baik akan membantunya dalam proses membaca dan menulis.

No comments:

Post a Comment